Rakyat Didahulukan |
Kandungan Piagam
Lebih setengah abad yang lalu ibu-ibu dan bapa-bapa kita semua telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat dan merdeka. Mereka menerima hakikat masyarakat berbilang agama, kaum dan kebudayaan. Mereka yakin bahawa daya hidup negara bergantung kepada kesederhanaan dan kerjasama semua kaum yang berteraskan keadilan, demokrasi dan musyawarah.
Semangat itulah yang melahirkan Parti Perikatan sebagai madah bagi rakyat mencapai kemerdekaan dan membentuk serta membangunkan Malaysia.
Kita menegaskan bahawa :
Barisan Nasional adalaha satu-satunya wadah muafakat rakyat Malaysia malah yang mampu menggerakkan cita-cita rakyat mencapai keadilan dan kesejahteraan bersama, membela yang dhaif, memperkayakan budaya, menjayakan sistem ekonomi dan politik yang dinamik dan mantap.
Barisan Nasional menentang sebarang bentuk gangguan dan gerakan pelampau perkauman dan agama. Fahaman politik dan kedaerahan yang sempit yang boleh menggoncang kerukunan hidup bermasyarakat. Percayalah bahawa mereka yang menyemai benih taufan kehancuran.
Barisan Nasional bertekad menjadikan Malaysia negara yang memiliki kekuatan moral, kehebatan industri dan kesuburan budaya. Wawasan 2020 adalah pernyataan hasrat rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran masakini dan obor yang menyuluh hasrat kemaraan kita ke abad ke-21 dengan penuh yakin. Ia menzahirkan iltizam untuk mengangkat martabat bangsa dan negara, menjadikan warga yang berjaya dan dihormati di tengah-tengah masyarakat sejagat.
Barisan Nasional berpegang teguh kepada perjuangan yang mengimbangi ketangkasan ekonomi dan kekuatan moral, pertumbuhan dan keadilan sosial, kebebasan individu dan kestabilan masyarakat.
Dengan itu Barisan Nasional menegaskan keazaman untuk terus :
- Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung perlembagaan dan institusi Raja berpelembagaan, serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara.
- Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negara sambil memperaku dan menghormati hak dan amalan agama-agama lain. Kita percaya bahawa kehidupan beragama sebagai asas kekuatan moral, tunjang kebaikan dan nilai murni serta asas keutuhan keluarga dan masyarakat penyayang.
- Menjamin kedaulatan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Malaysia) sebagai bahasa rasmi negara, serta memperluaskanpenggunaan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.
- Menyuburkan pertumbuhan budaya dan kesegaran dayacipta ke arah pembentukan Kebudayaan Nasional.
- Memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjamin pengagihan kekayaan kepada semua lapisan rakyat dan merangka pembangunan yang mesra alam.
- Memekarkan ilmu, membudayakan sains dan teknologi dalam kehidupan rakyat, serta meningkatkan ketrampilan dalam menangani segala cabaran global.
- Memperjuangkan keadilan, demokrasi dan hak-hak asasi manusia di pentas antarabangsa, menyuarakan pendirian tegas dalam persoalan kemanusian sejagat, membantu mencorakkan tatadunia yang lebih adil dan merangsang kriteria moral yang lantas.
- Inilah ikrar kita semua, demi kesejahteraan kita dan anak-anak kita semua, kita akan perjuangkan dengan gigih sehingga mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
Comments (0)