Oleh Boo Su-Lyn


KUALA LUMPUR, 8 April — Seorang pemimpin PKR negeri dan seorang wanita dikenakan tuduhan menerima RM50,000 sebagai rasuah untuk membolehkan seorang lelaki dikurniakan pingat negeri Kelantan yang membawa gelaran “Datuk”.

Ketua cabang Rantau Panjang Datuk Mohammad Agos Mohd Noor dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Nor Azimah Jamaludin pula dicaj di bawah Seksyen 16(a)(A) akta yang sama.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kedua-dua tertuduh menerima RM50,000 sebagai bayaran untuk membolehkan lelaki terbabit dikurniakan Dato’ D’Raja daripada Persatuan Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus, Kelantan.

Mohammad Agos, 51, dituduh bersubahat dengan Nor Azimah, 31, dalam menerima RM50,000 daripada Izuldin Hani Mohd Noor Disember lalu bagi membolehkannya menerima “Datuk”.

Pemimpin itu juga berhadapan dengan tuduhan alternatif bersubahat dengan Nor Azimah dalam memperdaya Izuldin untuk mempercayai bahawa dia akan dikurniakan Dato’ D’Raja.

Bagi tuduhan alternatif, Mohammad Agos dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan juga boleh dihukum denda.

Nor Azimah, yang bekerja sendiri, juga boleh dikenakan hukuman sama di bawah tuduhan alternatif kerana cuba memperdaya Izuldin.

Pendakwa raya SPRM Datuk Abdul Razak Musa menggesa agar mahkamah menetapkan wang ikat jamin RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Ketika merayu, Nor Azimah berkata: “Saya bekerja mengikut arahan Agos. Dia berikan arahan.”

Ibu tunggal itu berkata dia tidak mampu untuk menyediakan wang ikat jamin sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun Abdul Razak berhujah Mohammad Agos berhadapan dengan tuduhan serius.

“Ia melibatkan kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan Kelantan,” katanya.

Hakim Rosbiahanin Arifin dan Rozilah Salleh membenarkan mereka diikat jamin RM30,000 setiap seorang.

Laporan hari ini menyebut Persatuan Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus dikurniakan “Datuk” kepada 28 orang di Kota Baru Disember lalu.

Sultan Kelantan dilaporkan murka dengan tindakan persatuan itu berbuat demikian.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula 9 Mei ini.

-- The Malaysian Insider

Comments (0)