KAPIT, 7 April (Bernama) — Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh boleh mengjangkakan banyak rangkaian jalan raya lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Pembangunan Tanah Datuk Seri Dr James Masing.

Masing, yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata beliau akan memastikan semua projek jalan raya di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan.”Ini termasuk jalan Long Kapit/Sangan/Bintulu sejauh 150 kilometer (km) dan jalan Long Kapit/Ulu Baleh 73 km yang merupakan jalan utama dan dijangka menelan belanja RM2 bilion,” katanya kepada pemberita di sini.

Projek jalan raya Kapit/Ulu Baleh menghala ke Sungai Tunoh akan mengubah kawasan aktiviti ekonomi dan lanskap politik, dan bakal membawa limpahan manfaat yang besar, kata Masing.

Beliau berkata lembangan Sungai Tunoh di sini mempunyai kira-kira 30,000 hektar tanah yang subur bagi penanaman padi, getah dan hasil pertanian lain.

Masing berkata Gunung Hose setinggi 2,133.6 meter menjadikan kawasan itu kaya dengan sumber alam semula jadi dan mempunyai potensi besar bagi industri eko-pelancongan.

Beliau berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk membina dua jambatan utama bagi menyeberangi Sungai Baleh dan Sungai Mujong, dengan kedua-dua projek itu menelan belanja RM150 juta.

Jambatan Baleh, katanya akan menghubungkan bandar Kapit ke kawasan seberang dan Jambatan Mujong ke kawasan pedalaman di mana banyak tanah boleh dibangunkan.

Mengenai pilihan raya negeri pada 16 April, Masing berkata PRS telah membentuk kumpulan pemantau siber bagi menangkis serangan dan tohmahan yang dilontarkan ke arah calon parti dan kerajaan BN serta melakukan kempen menerusi internet.

Beliau percaya rakyat akan memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk kembali memerintah selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

“Rakyat telah mula melihat keprihatinan, keikhlasan, kesungguhan dan inisiatif-inisiatif yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mentransformasikan negeri, rakyat dan negara secara keseluruhan untuk lebih maju dan membangun, serta pendapatan per kapita lebih tinggi,” katanya.

“Faktor Najib merupakan sesuatu yang bertuah bagi negeri ini. Najib hakikatnya peneraju kemajuan bagi BN di negeri ini,” katanya.

Berbanding dengan pembangkang, Masing berkata mereka tidak mempunyai visi atau objektif ke arah kemajuan.

– BERNAMA

Comments (0)